Pelengkap sushi Jepun
Dalam satu-satu masa terdapat satu dozen atau lebih kapal nelayan di kawasan lautan yang cukup luas bermula dari Perancis, Sepanyol, Turki dan banyak lagi sehingga tidak memudahkan pencinta alam mengejar dan menghalang mereka daripada menangkap ikan tuna itu.
Beberapa kapal nelayan hampir tidak bergerak kerana begitu teruja dengan hasil tangkapan mereka, manakala kapal lain pula bergerak perlahan. Ini kerana kebanyakan kapal itu membawa jaring sangkar yang digunakan untuk mengelilingi kumpulan tuna yang kemudiannya ditunda ke pesisir pantai untuk dimasukkan ke dalam peti sejuk gergasi. Ikan-ikan tersebut kemudian akan dihantar ke Jepun.
Ini kerana tuna digunakan untuk membuat makanan kegemaran rakyat negara Matahari Terbit iaitu sushi dan sashimi.
Nilai ikan tersebut bergantung kepada saiz dengan harganya boleh mencecah sehingga RM401,418 seekor di pasar ikan Tsukiji, Tokyo.
Sementara itu, pemburuan ikan tuna sirip biru secara meluas di laut bebas menyebabkan hasil tangkapan spesies itu menjunam sehingga 80 peratus di Mediterranean dan Atlantik.
Apatah lagi ketamakan nelayan mengaut hasil tangkapan membawa mereka sehingga memburu anak-anak ikan tuna sirip biru yang biasanya berada di perairan lebih panas.
Pada awal tahun ini, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat cuba mengharamkan perdagangan spesies tuna tetapi Jepun melobi dengan jayanya sehingga usul yang dikemukakan itu ditolak.
Seterusnya kempen mengharamkan perdagangan ikan itu dialihkan kepada perairan terbuka kerana pemburuan ikan tuna sirip biru hanya boleh dilakukan sehingga pertengahan Jun lalu sahaja. Selepas tempoh itu, pencinta alam menggunakan peta nautika serta kompas untuk memantau dan menghalau kehadiran kumpulan bot tunda di perairan terbuka.
"Jika bot nelayan mula mengelilingi sesuatu kawasan atau memperlahan bot, itu memberi petunjuk bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menunda kawanan tuna sirip biru. Itulah sebabnya Greenpeace mahu 'mengganggu' kegiatan mereka di laut kerana kami mahu mereka menghentikan tangkapan besar-besaran," terangnya.
Bagaimanapun Greenpeace enggan mendedahkan apakah taktik-taktik yang digunakan mereka dalam usaha menggagalkan pemburuan ikan tuna sirip biru oleh nelayan. Pada Mei lalu, aktivis menaiki rakit untuk menghalang tiga kapal ikan tuna daripada meninggalkan Pelabuhan Sete, Perancis.
"Kita tidak mempunyai banyak masa," tegas Knowles. Kerana itu Greenpeace mahu memberi tekanan yang lebih kuat kepada Suruhanjaya Konservasi Tunas Atlantik (ICCAT) agar musim penangkapan ikan dipendekkan kepada empat minggu sahaja.
"Kita masih bertolak ansur dengan memberi peluang mereka menangkap ikan tuna sirip biru tetapi kita tidak mahu mereka menunda semua ikan tersebut sehingga ia pupus di lautan," terang Knowles.
Bagaimanapun ramai penyelidik berpendapat kuota dan jumlah tangkapan itu lebih tinggi daripada yang sepatutnya.
Pakar perdagangan perikanan, Audun Lem memberitahu seharusnya usaha lebih tegas dilakukan oleh pelbagai pihak untuk membanteras pemburuan berleluasa ke atas tuna sirip biru. Namun, pada masa yang sama kita seharusnya memberi jalan alternatif kepada para nelayan kerana jika tidak sampai bila pun ia tidak akan selesai.
Itali sebagai contoh membuat perjanjian penangguhan sementara dengan para nelayan ikan tuna sirip biru negara itu tahun ini. Kerajaan Itali telah mengeluarkan AS$12.3 juta (RM40 juta) kepada nelayan dan syarikat perikanan untuk memastikan semua bot nelayan Itali berada di pelabuhan.
Kerana itu, 49 buah bot tuna yang sebelum ini dibina dan diberikan kepada nelayan secara subsidi kini disubsidikan semula untuk kekal di pelabuhan. - AFP