12 December, 2006

Ekspedisi Pasang Besar Pulau Sembilan II




Tekong memberi petua dengan mencadangkan kepada kami untuk menggunakan mata kail pandan bersaiz 2/0 (long shank)dengan perambut 50 paun sepanjang 2 depa. Tali utama sekitar 40 ke 50 paun sudah memadai. Ikan bilis dicangkuk di kepala dan hujung mata kail dicangkuk ke badan ikan bilis. Dua atau lebih ikan bilis boleh dicangkuk sekali. Batu hidup bersaiz 6 atau 7 boleh digunakan. Sebelum umpan dilabuhkan, tekong menabur beberapa ikan bilis ke laut sebagai merasuah ikan-ikan besar.

Sasaran kami kali ini ialah ikan gerepoh dan talang yang berlegar di tengah permukaan. 3 orang memancing di buritan bot, 3 di hadapan manakala seorang masing2 di sisi bot. Tekong menggunakan koyan bertali 100 paun, menggunakan 5 mata kail di hadapan bot.

Baru beberapa minit kami melabuhkan joran, segerombolan ikan gerepoh dan ikan talang mengelilingi bot. Dari atas bot nampak putih berkemilau kelibat ikan di permukaan air. Agak-agaknya lebih 1 ribu ikan dalam kumpulan tersebut. Memang tabiat ikan tersebut datang berkumpulan mencari makan dan akan beredar selepas beberapa ketika.

Tidak sampai beberapa minit, joran kawan2 dihenjut serentak. Gaya tarikan gerepoh dan talang ini agak serupa bila terkena mata kail. Ikan akan meluru ke dasar dengan ganasnya untuk melepaskan mata kail. Pada saat ini pemancing hanya mampu bertahan dengan tali keluar agak laju. Tak ada masa untuk mengarau semula. Kemudian ia akan berhenti seketika. Pada masa ini giliran pemancing pula mengarau. Beberapa kali ikan akan menghenjut ke dasar, membuatkan pemancing terasa bahangnya. Ikan talang dan gerepoh berjaya dinaikkan dengan skala 2 hingga 5kg setiap satu. Berdasarkan saiz, ada yang terpaksa berlawan lebih 10 minit untuk menaikkan satu-satu tangkapan.

Bagai tidak menang tangan bagi setengah jam berikutnya menangani tarikan gerepoh dan talang. Masing2 berjaya menaikkan spesis tersebut. Tekong dengan koyan tradisinya nampaknya lebih banyak menaikkan ikan-ikan tersebut dari kami. Awak-awak membantu menggancu ikan yang berjaya didaratkan. Ikan todak sebesar lengan dewasa juga galak mencuri umpan berselang seli dengan talang dan gerepoh.

Setengah jam kemudian, gerombolan ikan ini berlalu pergi. Kali ini tekong mula mengalih bot ke lubuk lain. Kami menghampiri sebuah pulau berbatu dan mencuba pancing dasar. Di lubuk terbaru ini kami banyak menaikkan ikan kunyit bersaiz telapak tangan. Dengan menggunakan 2-3 mata serentak, banyak yang dinaikkan termasuk yang kami simpan sebagai umpan hidup. Ikan-ikan demersal seperti kerapu juga berjaya didaratkan. Trip kali ini dianggap berjaya dengan masing2 membawa pulang satu coolbox ikan setiap seorang. Cukup untuk diagih2kan kepada kawan2 dan stok lauk untuk seminggu.

No comments: