Survival Tuna Sirip Biru
Artikel ini diambil dari Harian Kosmo 17/11/2010.
DARI Pantai Malta, kelihatan sekumpulan bot-bot nelayan yang tenggelam dan timbul di perairan Mediterranean. Bot tersebut sedang menunggu untuk menjala sebanyak mungkin tuna-tuna sirip biru sebelum berakhirnya bulan Jun.
Hakikatnya, tuna bukanlah satu-satunya mangsa buruan. Ini kerana kumpulan pencinta alam sekitar turut menantikan dengan teropong dan peralatan pemantauan moden yang bukan sahaja diletakkan di tepi pantai tetapi juga di atas bot tunda.
Aktivis pencinta alam memburu bot-bot nelayan kerana tidak lagi mahu nelayan menunda ikan tuna sirip biru.
"Sebenarnya, saya mahu mereka memancing sahaja," beritahu salah seorang pencinta alam yang terlibat dalam kempen Greenpeace, Oliver Knowles. Akui Knowles, dia mahu aktiviti penangkapan ikan tuna sirip biru secara komersial ditangguhkan buat sementara waktu untuk memberi masa ia kembali membiak tanpa gangguan.
Kerana itu Knowles dan pasukannya telah menghantar dua kapal ke Mediterranean bagi menjalankan pemburuan bot-bot nelayan.
"Lakukan sesuatu sekiranya anda mahukan alam sekitar tidak dimusnahkan secara besar-besaran. Saya tidak mahu mereka menangkap ikan tuna sirip biru lagi. Kita terpaksa berusaha keras demi menjaga alam sekitar, namun unsur politik tetap memainkan peranan untuk menghentikan nelayan," terangnya penuh bersemangat kepada 26 krew yang menaiki kapal organisasi itu, Rainbow Warrior.
No comments:
Post a Comment