18 April, 2007

Joran, Potak & Bob


Baru-baru ini, ayah ajak Bob pergi ke kolam terbiar bekas lombong pasir di Bandar Seri Ehsan dekat Banting. Ayah selalu bawa Bob memancing sama ada ke laut, pantai, sungai, kelong, kolam bayar atau lombong.

Ayah telah hadiahkan Bob set pancing ringan Tomman kerana Bob rajin ikut ayah. Ayah benarkan Bob buat lontaran setelah Bob diajar beberapa kali. Sekarang Bob sudah pandai menggunakan joran, kekili dan tidak takut lagi memegang umpan cacing serta lain-lain.

Semasa memancing di kolam terbiar ini, Bob gunakan umpan cacing. Bob akan bubuh banyak-banyak sebab ayah kata ikan semua tamak, hendak makan umpan banyak. Di kolam petang itu, kawan-kawan ayah seperti Abang Azuan, Abang Irsad dan Abang Sham sudah lama memancing iaitu sejak pagi lagi. Dalam baldi mereka Bob tengok ada macam-macam ikan. Antaranya ikan haruan, keli Afrika, anak belida dan tilapia. Tetapi yang banyak sekali ialah anak belida sebesar tapak tangan Bob.

Lepas bubuh umpan, Bob pun baling ke tengah kolam. Lama juga Bob tunggu tapi tidak ada ikan makan. Bob selalu juga karau untuk periksa umpan tapi ayah kerap marah. Dia kata Bob tidak sabar, kalau tidak sabar tidak boleh jadi pemancing.

Kali ini Bob bubuh umpan cacing lagi banyak. Bob baling umpan dekat dengan reba timbul. Tidak lama lepas itu hujung joran Bob bergetar. Bob tidak perasaan tapi Abang Azuan beritahu. Bob pun putar mesin kekili laju- laju. Rupa-rupanya Bob dapat anak ikan Belida. Kawan-kawan ayah semua tepuk tangan kepada Bob. Lepas bubuh umpan Bob lontar lagi tetapi tidak ada ikan yang sentuh lagi. Bila hari dah nak gelap ayah ajak Bob balik. Bob hendak bawa balik ikan yang Bob dapat tadi tetapi ayah kata bagi Abang Azuan. Bob tanya mengapa, ayah kata ikan itu banyak tulang nanti sakit tekak tercekik. Begitulah cerita Bob memancing di kolam terbiar.

No comments: