Aku Bukan Kaki Pancing
Dulu, aku bukanlah seorang kaki pancing dan aku tak faham kenapa orang boleh minat memancing. Ada dua jenis pemancing. Pemancing cari makan dan pemancing cari kepuasan. Mungkin aku boleh terima jika orang pergi memancing nak cari ikan untuk digulaikan, tapi aku tak faham bila melihat ada pemancing yang melepaskan semula semua hasil pancingan mereka.
.
Setiap kali bila nak balik ke Malaysia, mesti isteri aku ajak pergi kedai pancing untuk beli lure yang abang ipar aku pesan. Bukannya murah semua benda tu. Mahal. Walaupun mahal, dia nak juga. Katanya kebanyakan lure tu payah nak jumpa di Malaysia. Membazirnya. Beli beras lagi bagus, fikir hati aku.
.
Gembira sungguh abang ipar aku bila dapat semua lure yang dia pesan. Dibelek-beleknya lalu di susun rapi di dalam lurebox yang dimiliki. Awal 2006. Abang ipar aku perkenalkan satu forum. Malaysian Fishing Net. Aku cuba jenguk forum tu. Meriahnya kaki-kaki pancing Malaysia bercerita tentang pengalaman dan hasil pancingan mereka. Aku masih tak faham. Masih tak minat. Lebih seronok aku tengok cerita Doraemon atau Shinchan di TV.
.
Pada satu hari, isteri aku ajak pergi kedai pancing. Katanya dia nak beli lure. Nak cuba jual pada pengunjung forum tersebut. Terus terang aku tak berminat. Bukannya murah semua lure tu. Boleh laku ke? Ada ke orang nak beli ke? Pelbagai pertanyaan dan kerisauan menendang ruang fikiran aku. Terus terang, aku memang agak kedekut berbelanja. Apatah lagi semenjak berkahwin. Aku tak suka membazir beli barang-barang yang tak perlu. Aku lebih suka tengok duit di dalam bank yang bertambah dan terus bertambah.
.
.
Beberapa hari berlalu.."Abang, lure yang kita beli haritu, dah habislah orang booked..," kata isteri aku dengan penuh ceria. Ye ke? Terkejut juga aku bercampur rasa hairan. Apalah yang menarik sangat dengan benda-benda ni. Aku cuba belek dan teliti satu persatu. Setiap kali aku sentuh dan belek lure tu, mula timbul rasa kagum dihati aku. Kagum dengan hasil kerja orang Jepun mencipta semua lure tu. Kemas. Cantik. Mungkin aku sudah mula mengerti kenapa orang sanggup keluarkan perpuluh, malah beratus ada yang sampai beribu untuk mengumpul barang-barang pancing yang diingini.
.
.
Hari berlalu, bulan berganti, aku mula berminat dan serius dengan bisnes ni. Menjenguk kedai pancing mula menjadi salah satu rutin utama bersama isteri setiap kali hari cuti. Mencari stok lure sekenhen untuk dijual. Banyak kedai pancing di sini. Kalau dikira, lebih dari sepuluh buah kedai yang ada. Lure pertama yang menarik minat aku, Megabass Pop X. Satu hari di sebuah kedai pancing, tokeh kedai tu rekemenkan lure Pop X ni. Katanya lure ni memang top di jepun. Akupun belilah seketul. Colour - Karakusa Tiger. Sampai di rumah, aku belek dan amati Pop X tu. Memang cantik. Pada pakejnya ada logo Japan Good Design Award. Timbul keinginan kecil di hati aku untuk mencuba lure tu.
.bersambung...(sekelumit coretan dari Akapiman yg menetap di Jepun)
No comments:
Post a Comment