05 December, 2006

Alu-alu Pulau Sembilan




Kelibat seekor alu-alu sekitar 3 kaki meluncur laju di bahagian buritan bot lalu membuat pusingan drastik. Tekong berteriak , "Hulur ikan hidup, hulur cepat!". Ikan taufu sebesar tapak tangan yang baru dinaikkan dicangkuk dengan mata kail bersaiz 3/0. Whamm!!! Dengan satu sambaran sahaja umpan lenyap dari mata kail. Umpan habis, alu-alu meloncat di permukaan seolah-olah menyindir kami.




Bot dilabuhkan lebih kurang 30 kaki dari pulau berbatu di salah satu gugusan Pulau Sembilan. Cahaya matahari petang kurang membahang. Dua ikan taufu hidup dicangkuk, kali ini terlepas satu, ada satu lagi menunggu. Harap-harap ikan idaman muncul bermain dipermukaan sekali lagi.




Alu-alu tadi muncul semula dari kanan bot, menyusur tepi buritan dan meluncur laju ke kiri. Semasa alu-alu membuat pusingan, umpan dibaling. Whamm!!, sekali lagi ia menyambar umpan, separuh ikan di bahagian ekor putus dibaham. Tinggal bahagian kepala sahaja lalu tekong menjerit, "biarkan, nanti ia pusing balik tu..." Seperti yang dijangka ia berpatah balik untuk menghabiskan sisa-sisa umpan. Sekali sambaran, sisa kepala ditelannya bersama-sama mata kail yang dicangkuk.




Bila menyedari mata kail tercangkuk, ia membuat henjutan. Kudrat manusia bertemu kudrat ikan, ikan nampaknya akan mengalah. Gancu dihulurkan oleh awak-awak tetapi tidak dapat dicangkuk. Terlalu kuat ia menggelupur. Tekong berpengalaman mengambil alih dari awak-awak.




Ikan berjaya dinaikkan. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan ikan berskala 3 kaki 8 inci dan seberat 3.2kg. Pengalaman yang menarik perlu diabadikan dengan sekeping foto. (Artikel ditulis oleh penulis - Slambe Jr- dlm majalah Pancing edisi Okt 2003)

No comments: