12 December, 2006

Trip Muara Lumut II


Hari kedua kami bergegas ke pengkalan seawal 7.30 pagi. Cikgu Aziz telah bersedia di bot menanti kami. Air sedang pasang dan sesuai untuk bertolak. Kami singgah di sangkar ikan untuk mengambil ulat pasir dan udang hidup yang ditempah oleh Cikgu Aziz semalam. Lokasi pertama ialah kawasan batu karang yang mengambil masa 10 minit perjalanan. Hanya beberapa kerapu mini berjaya didaratkan.

Lubuk seterusnya ialah di muka kuala Lumut berhampiran pengkalan TLDM. Joran Rosli yang menggunakan 3 mata kail berumpan ulat pasir disentap kuat. 3 ekor ikan Ayam bersaiz 200 ke 300 gram setiap satu tercangkuk serentak. Rupanya gerombolan ikan ayam sedang mencari makan di kawasan tersebut. Saya menambah 3 mata pancing di joran dan mula melabuhkan umpan. Joran Kamarul yang masih mengekalkan umpan udang hidup ditarik kuat hingga muncung jorannya melendut ke permukaan air. Aksi tarik menarik selama 15 minit yang menyaksikan tali pancing Kamarul terputus. Berpuluh-puluh ikan ayam berjaya dinaikkan.

Tompokan minyak hanyut dari sisa buangan kapal memaksa kami berpindah lubuk. Kali ini kami menuju ke kawasan anak sungai di pinggir hutan bakau. Udang hidup jadi taruhan tetapi tiada getuan. Selepas 30 minit kami ke lubuk ponton tenggelam. Beberapa ikan rambai, tetanda dan kerapu berskala 600g hingga 1kg berjaya dikalahkan. Lewat tengahari kami berlabuh di batu asas jambatan Lumut. Balingan pertama saya berjaya diragut oleh tetanda dan kerapu 600g serentak.

Pada pukul 4pm kami kembali ke pengkalan. Walaupun tidak mendapat ikan bersaiz bagak, hasil satu tong Coleman 54qtz menjanjikan kepuasan kepada kami. Terima kasih kami kepada Cikgu Aziz yang meluangkan masa untuk kami.

No comments: