15 March, 2007

Pancingan Bergelora Pulau Sembilan



Ini merupakan trip yang ke 4 kami ke Pulau Sembilan. Entah mengapa, tarikan ke Pulau Sembilan agak kuat walaupun kami telah menduga banyak lubuk seperti di Rompin, Terengganu, Mersing dan sebagainya. Mungkin jarak yang dekat dari KL menyebabkan P9 mudah untuk dikunjungi.


Trip yang dikoordinasi oleh Cikgu Aziz Setiawan telah dirancang sebulan sebelum itu. Beberapa hari sebelum pergi, Cikgu Aziz menelefon memberitahu bahawa laut agak bergelora. Tekong kegemaran, Abang Talang juga tidak senang kerana terpaksa membawa Pengarah Pelajaran Perak untuk trip lain. Yang ada hanya abang beliau.


Perbincangan dibuat dengan kaki pancing yang telah menempah untuk trip tersebut samada untuk meneruskan aktiviti atau tidak. Memandangkan plan telah dibuat begitu lama, kami bercadang meneruskan juga.


Seperti biasa, kami menaiki bot di subuh bening di Teluk Batik. Saya, Rosli (Sr), Kamarul, Bob, Cikgu Aziz dan Ashrif. Zakil membatalkan namanya di saat akhir. Tekong menuju ke bot pukat bilis tetapi malangnya hanya ada 2 bot yang sedang memukat. Bila didekati, tiada ikan bilis yang ditangkap. Tekong melilau mencari bot pukat lain, namun tiada di perairan Pangkor. Mungkin bukan musim bilis, maka tiada bot di sana.


Hendak tak hendak kami menggunakan umpan pasar seperti sotong, kembung dan udang yang dibeli oleh tekong. Sampai ke lubuk pertama, kami melabuhkan pancing. Dengan umpan udang dan sotong, hanya kerapu yang meragut. Selepas beberapa ketika, apabila tiada ragutan, tekong beralih ke lubuk berikutnya.


Umpan sotong dan udang disambar bertalu2 oleh ikan Taufu bersaiz 2 tapak tangan. Ikan yang berwarna merah pudar dengan belang hijau tak berhenti2 menyambar umpan. Kadang2 pemancing yang memakai 2 mata disambar 2 ekor sekaligus. Disebelah petangnya kami memancing hampir ke satu pulau batu. Disini hanya ikan kambing, ikan kecil yang juga berwarna merah kelabu bercampur kuning yang menggetu umpan. Ikan tersebut layak dibuat umpan sahaja. Seekor ikan taufu yang dibuat umpan pancingan permukaan disambar rakus oleh Alu2. Ia berjaya dinaikkan dengan gancu, satu2nya ikan besar kali ini.


Sebelah malamnya, laut mula bergelora. Masing2 pening lalat, ramai yang terbungkam di dek bot. Mabuk laut. Aktiviti malam hanya tidur dan tidur. Keesokan paginya tekong menghidang teh tarik halia. Bob menggeluarkan sardin untuk dimakan dengan roti. Kombinasi yang tak sesuai menyebabkan ada yang muntah hijau, ditambah lagi dengan keadaan laut yang bergelora. Dalam perjalanan pulang, tekong singgah di lubuk kapal karam. Nampak terpacak tiang kapal dari permukaan laut. Namun tiada sentuhan ikan, mungkin disebabkan umpan yang tidak segar lagi.


Untuk trip kali ini, saya kategorikan sebagai 2 bintang sahaja. Tiada ikan yang betul2 menguji kemampuan pancing kami.




No comments: