Pemancing Sembilang Pulau Berbatu
Mereka datang dari jauh dan dekat. Dari Pantai Remis setiap orang membayar RM5 untuk ke pulau tersebut menaiki bot laju. Sehari semalam mereka berada di pulau berbatu, ribut dan panas terpaksa ditempuhi dengan payah..semata2 kerana memenuhi naluri mereka sebagai pemancing.
.
Petang Sabtu kami sampai ke gugusan Pulau Jemur berhampiran Pantai Remis, Kuala Selangor dengan bot En. Omar. 3 buah pulau telah ditandang oleh pemancing iaitu pulau berbatu seperti di dalam gambar. 4 pemancing berada di atasnya. Pulau ini hanya mempunyai segugus pokok, tidak cukup pun untuk berteduh di panas terik. Sebuah pulau lagi mempunyai pokok sekunder dengan tebing berbatu yang tinggi. 3 pemancing kelihatan di situ. Sebuah pulau lagi merupakan tempat kajian dan observasi sebuah Kolej Universiti bagi kajian bio marin. Di pulau ini terdapat jeti yang panjang merentangi pulau, hujung ke hujung. Terdapat ramai pemancing hujung minggu di sini kerana ia lebih selesa.
.
Pulau berbatu nampak kemerahan di bawah panas matahari. 3 pemancing di satu tanjung dan 1 pemancing lagi di hujung yang bertentangan. Bot kami berlabuh 20 meter berhampiran pulau tersebut. Ternampak kelibat pemancing menarik joran, beberapa gelama berjaya dinaikkan. Tak dapat bayangkan bagaimana mereka menahan terik matahari bermula dari pagi tadi tanpa sebarang pokok untuk berteduh. Sudah mesti baju sudah berbau hamis akibat peluh. Malamnya setelah kami memancing di beberapa lubuk disekitar gugusan pulau, angin bertiup dengan kencang dan dikuti pula hujan lebat. Nasib baik bot kami berbumbung. Tapi apa nasib pemancing di pulau tersebut. Tak nampak pun khemah mereka, kalau buka khemah pun mesti berterbangan ditiup angin kencang. Menggigil kesejukan lah mereka di sana. Kami dalam bot dengan pakaian kering pun mengerekut kesejukan.
.
Pagi esoknya sekitar 9.00am bot kami berlabuh semula berhampiran pulau berbatu itu. Pemancing2 nampak ceria. Beberapa kali mereka bersorak keriangan kerana pancing mengena ikan sembilang. Agak kasar juga saiznya, ada yang sebesar lengan dewasa. Pemancing berbaju putih yang mengambil lokasi di tengah sahaja yang asyik mengena sembilang. 5-6 ekor juga dalam masa 1 jam. Yang lain sekadar ikan gelama.
.
Pukul 10.00am bot laju tiba untuk mengambil mereka. Bila difikir-fikirkan, agak jerih juga pertualangan mereka. Dibasahi hujan lebat, kesejukan angin menderu di waktu malam, kepanasan bagai cacing dibakar bila tengahari...begitulah kalau dah hobi!
No comments:
Post a Comment