15 January, 2007

Tok Misai Sg. Banting




Pagi semalam lepas menebas dan tanam pisang sikit2 di kebun, lepas mandi tak tahu nak buat apa lagi. Nasib baik staff store saya ajak pergi memancing, "port baru, lepas Zohor", kata mereka. 10 minit lepas zohor, 2 orang dah sampai dengan motorsikal. Tak sempat nak lunch pun lagi. Tak apa la, pancing punya pasal. Peralatan dipindah dalam bonet kereta saya lepas tu kena ke LBJ nak ambil 2 org lagi yang tahu 'port' tersebut. Dari LBJ ke port tu makan masa 1/2 jam saja. Rupa-rupanya Sg Banting. Sungai ni bersebelahan dengan lombong pasir tinggal. Jadi bolehlah twist dari sungai ke lombong bila2 masa jika nak tukar selera.

Dalam pukul 2.30pm aktiviti memancing bermula. 2 orang mencuba di lombong tinggal. Saya, Azuan dan Sham menghala ke sungai. Umpan cacing, ikan selar dan cengkerik digunakan. Nasib baik hari mendung sepanjang hari, tak la terbakar kulit. Set pancing ringan dengan mata saiz 12 digunakan. Batu ladung saiz 8/10 sudah cukup.

Saya dan Sham menggunakan umpan cacing, manakala Azuan menggunakan hirisan selar. 30 minit berlalu tanpa getuan. 5 minit kemudian, joran Azuan bergetar dan dengan mudahnya menaikkan Baung sekitar 200g, masih bayi lagi ni.

Baung adalah spesis demersal dan karnivor dengan diet utama ialah perut ayam, cacing, hati dan pedal ayam dan daging ikan. Seperti ikan duri di laut, Baung adalah spesis berkumpulan. Makan berebut-rebut, pelahap bilamana selalu terus menelan umpan. Mereka juga pembangkai iaitu memakan haiwan reput di sungai. Mempunyai 2 sesungut panjang di atas mulut dan 2 sesungut pendek di bawah mulut, "misai2" ini digunakan sebagai deria perasa(touch) terhadap bakal makanan mereka.

Kalau di Sg Pahang, baung liar ni boleh mencapai RM40 sekilo. Sedap di buat gulai asam tempoyak atau asam pedas, kalau makan mak mertua lalu kat belakang pun tak nampak. Ya lah mana nak nampak kan, lalu kat belakang. Kalau lalu kan depan tentu nampak. Kalau tak nampak juga tu tandanya kedekut, tak nak ajak dia makan sekali.

No comments: