24 February, 2007

Lelaki Tua & Laut

Lanjutan kisah mersuji ni, teringat saya kisah dari novelist terkemuka, Ernest Hemmingway dari Cuba yang diterbitkan pada 1951 dan telah memenangi beberapa anugerah antarabangsa. Sinopsis novel berikut yg dipetik dari Wikipedia. Lelaki Tua dan Laut menceritakan perjuangan epik antara seorang nelayan tua yang berpengalaman dengan seekor ikan mersuji raksasa yang dikatakan merupakan tangkapan terbesar dalam hidupnya.

Kisah bermula dengan menerangkan bahawa nelayan itu yang bernama Santiago (tetapi hanya dirujuk secara tidak langsung di luar dialog sebagai "si orang tua")tidak berjaya menangkap sebarang ikan selama 84 hari. Dia kelihatan bernasib malang dan Manolin, perantisnya yang muda, telah dilarang oleh ibu bapanya untuk belayar dengan orang tua itu dan diarahkan untuk menangkap ikan dengan nelayan-nelayan yang lebih berjaya. Masih bertaat setia kepada si orang tua itu, budak itu melawat teratak Santiago pada setiap malam untuk membaiki peralatan menangkap ikan, memberi makanan kepadanya, serta untuk bercerita tentang besbol Amerika — khususnya tentang Joe DiMaggio, pemain pujaan Santiago. Santiago memberitahu Manolin bahawa pada hari berikut, dia akan pergi jauh ke Teluk untuk menangkap ikan dan yakin bahawa nasib malangnya akan berakhir.

Oleh itu pada hari ke-85, Santiago pergi seorang jauh ke Teluk dengan sampannya. Dia menurunkan tali kail dan menjelang tengah hari pada hari pertama, seekor ikan besar yang dia yakin adalah seekor ikan mersuji memakan umpannya. Tidak berupaya menarik ikan mersuji yang besar itu, Santiago mendapati bahawa ikan itu sebaliknya menarik sampannya. Dua hari dan dua malam berlalu dengan orang tua itu menahan tegangan tali kail dengan badannya. Walaupun dia dicederakan oleh perjuangan dan dalam keadaan sakit, Santiago mengungkapkan penghargaan yang penuh belas kasihan kepada lawannya, dan sering merujuk kepada ikan itu sebagai adik lelakinya.

Pada hari ketiga pengalaman pahit itu, ikan mersuji itu mula mengelilingi sampannya dan menandakan keletihannya kepada si orang tua itu. Santiago yang kini amat letih dan hampir dalam keadaan racauan, mencari kekuatan untuk menempuling ikan mersuji itu dan membunuh ikan itu ketika ikan itu menerpa keluar daripada air.

Santiago mengikat ikan mersuji itu pada sampan dan semasa menuju balik ke rumah, dia berfikir tentang harga tinggi yang akan diterimanya di dalam pasar, dan berapa banyak orang yang dapat diberikan makanan. Orang tua itu memutuskan kemudiannya bahawa disebabkan oleh kehebatan ikan itu, tiada sesiapa yang layak memakan ikan itu.

Semasa Santiago meneruskan perjalanannya balik ke pantai, ikan-ikan yu tertarik kepada jejak darah yang ditinggalkan oleh ikan mersuji di dalam air. Yang pertama ialah seekor yu mako yang dibunuh oleh Santiago dengan tempulingnya, tetapi senjata itu hilang dalam proses pembunuhan itu. Santiago mencipta tempuling yang baru dengan mengikat pisau pada hujung dayungnya untuk menghalau barisan ikan yu yang berikut; pada keseluruhannya, tujuh ekor ikan yu dibunuh. Tetapi menjelang malam, ikan-ikan yu lain telah makan seluruh ikan mersuji dan hanya meninggalkan rangka. Orang tua itu mengecam diri kerana mengorbankan ikan mersuji itu. Apabila akhirnya tiba di pantai sebelum waktu subuh, dia berjalan balik ke teratak dengan susah payah sambil memikul tiang sampan pada bahunya. Ketika tiba di rumah, dia rebah ke katil dan tidur dengan lena yang panjang.

Tidak tahu tentang perjalanan orang tua itu, sekumpulan nelayan berkumpul pada hari keesokannya di sekeliling sampan yang rangka ikan masih diikat padanya. Pelancong-pelancong di kedai kopi yang berhampiran salah menganggap ikan itu sebagai ikan yu. Manolin yang berasa risau tentang usaha orang tua itu menangis ketika mendapati bahawa orang tua itu sedang tidur dengan selamat. Budak itu membawa surat khabar dan kopi kepadanya. Apabila orang tua itu bangun daripada tidurnya, mereka berjanji akan menangkap ikan bersama-sama semula lagi.
Begitulah kisah jerih nelayan tua untuk memertabatkan semula namanya dan mengeluarkan diri dari nasib malangnya.

2 comments:

Mus_Astley said...

Pokcik,

Nak join kitorang punya campfire March nanti tak? Boleh lah FG belajar memancing...?

Pokcik Zam said...

Pokcik takut masuk hutan, dlm hutan byk setan...seramnye eeee